perlis.uitm.edu.my

Banner
library services-01-01
mdabb
printing ads


Search Universiti Teknologi MARA resources and beyond




 

Sejarah

E-mail Print PDF

Perpustakaan Institut Teknologi MARA Cawangan Perlis (ITMCPs) telah ditubuhkan bersamaan dengan penubuhan ITMCPs pada 5 Julai 1974. Termaktubnya kampus cawangan ini adalah dengan limpah berkenan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Putra Ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail, Raja Perlis. Penubuhannya adalah dengan daya usaha penggerak-penggerak dan perancang-perancang akademik ITM yang diketuai oleh Yang Berbahagia Tan Sri Dr. Mohd Ghazali Shafie, yang menjadi Pengerusi Majlis ITM dan Yang Berbahagia Datuk Dr. Arshad Ayub. Kerjasama sepenuhnya diperolehi daripada Kerajaan Negeri Perlis di bawah pimpinan Yang Amat Berhormat Dato' Jaafar b. Hassan, Menteri Besar pada masa itu.


Kemudahan fizikal amat terhad sekali, di mana bangunan rumah pengakap yang diubahsuai di Jalan Padang Katong Kangar Perlis menjadi kampus sementara bagi keperluan bilik kuliah, pentadbiran, dan perpustakaan. Asrama-asrama pelajar terletak di sekitar Kangar iaitu rumah-rumah perseorangan yang disewa oleh ITM. Pada masa yang sama kampus tetap di atas sebidang tanah seluas 330 ekar yang terletak di Arau Perlis adalah dalam proses pembinaan fasa pertama.


Kumpulan pertama seramai 258 orang pelajar telah diambil mengikuti kursus Diploma Perakaunan, Diploma Pentadbiran Awam, Diploma Kesetiausahaan, Diploma Pengurusan dan Perindustrian Ladang, Diploma Pengurusan Perniagaan dan kursus persediaan. Seramai 15 orang Pensyarah dan Penolong Pensyarah dan 31 kakitangan bukan akademik mengendalikan kursus-kursus tersebut.


Perpustakaan ini pada ketika itu dinamakan Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) dengan  kakitangan seramai 3 orang, dengan koleksi sebanyak 200 naskah buku iaitu 2 buah rak buku sahaja.


Menjelang tahun 1977, PTAR telah berpindah ke kampus tetap di Arau Perlis walaupun fasa pertama pembinaan kampus belum selesai sehingga tahun 1980.  Perpindahan disebabkan oleh siapnya kompleks bangunan kayu sementara (masih wujud hingga sekarang). Selain blok perpustakaan, blok-blok yang lain adalah diperuntukan untuk bilik kuliah, dewan, pejabat, dan kolej.


Perpustakaan hanya dibina dalam fasa kedua pembinaan kampus dan siap sepenuhnya pada tahun 1985. Ianya telah dirasmikan oleh Menteri Besar negeri Perlis iaitu Yang Amat Berhormat Dato' Ali bin Haji Ahmad. Pada majlis tersebut, Pengerusi Majlis ITM Dato' Mansor bin Othman telah mengisytihar dan menamakan perpustakaan ini sebagai Perpustakaan Dato’ Jaafar Hassan bagi mengenang jasa dan bakti Y.A.B Dato’ Jaafar bin Hassan, bekas Menteri Besar Perlis yang menjadi pendokong dan penggerak utama kepada penubuhan ITM di negeri Perlis.


Bangunan dua tingkat ini boleh memuatkan 800 tempat duduk bagi nisbah populasi 2,500 orang pelajar dan 200 kakitangan pada ketika itu. Koleksi perpustakaan juga telah meningkat kepada 35,000 buah buku dan lain-lain bahan bagi berbagai jenis kursus.


Pada tahun 1990, perpustakaan telah menggantikan sistem manual kepada sistem berkomputer bagi semua pengurusan dan perkhidmatannya. Ianya telah diresmikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan pada ketika itu iaitu Yang Berhormat Datok Michael Toyad. Sistem ini diberi nama Sistem Perpustakaan Berkomputer (SISPUKOM) yang dihasilkan bersama oleh Program Sains Perpustakaan dan Maklumat ITM Jalan Othman Petaling Jaya dengan syarikat Business Computers Sdn Bhd.


Pada tahun 1993, bangunan tambahan perpustakaan telah dibina bagi menampung jumlah pelajar yang kian meningkat. Ianya bersambung kepada bangunan sedia ada, dan dapat memuatkan tambahan 400 tempat duduk.


Pada tahun 1999, Institut Teknologi MARA Cawangan Perlis telah dinaikkan taraf kepada universiti dan diberi nama Universiti Teknologi MARA Perlis (UiTMPs).


Mulai pada tahun 2000, sistem komputer perpustakaan SISPUKOM diperkembangkan lagi kepada sistem aplikasi windows yang diberi nama Integrated Library Management Utilities (ILMU) oleh syarikat Paradigm System Sdn Bhd. Sistem baru ini telah beroperasi sepenuhnya pada pertengahan tahun tersebut dan sehingga kini telah beberapa kali dinaiktaraf versinya.


Sehingga 2010 jumlah koleksi adalah sebanyak 98,000 buah buku dan bahan, kakitangan seramai 34 orang, dan jumlah pelanggan yang aktif seramai 9,500 orang. Pelbagai perkhidmatan tambahan telah disediakan mengikut perkembangan dan keperluan maklumat semasa.


PDJH hari ini berusia lebih 30 tahun dan adalah yang ketiga tertua di dalam sistem UiTM dan fizikalnya perlu diperbesarkan lagi bagi menepati nisbah pelanggan yang kian meningkat. Berdasarkan perancangan strategik perpustakaan,  sebuah bangunan baru perpustakaan akan mula dibina pada tahun 2008 bagi menampung penambahan 12,000 orang pelajar pada tahun 2012.