
Penubuhan Institut Teknologi MARA (ITM) cawangan Perlis dibina pada tahun 1976 bertempat di Rumah Pengakap di Padang Katong, Kangar, Perlis. Pada masa tersebut, para pelajar hanya menyewa rumah-rumah kediaman milik orang-perseorangan untuk menetap. Kampus tetap ITM Perlis mula beroperasi pada tahun 1980 di atas sebidang tanah seluas 335 ekar di Arau. Pada 26 Ogos 1999, nama ITM telah ditukarkan kepada Universiti Teknologi MARA (UiTM). Sejajar dengan perkembangannya, dari tahun ke tahun, pembinaan blok kolej kediaman telah bertambah dan sehingga kini telah mempunyai 14 buah blok kolej kediaman sesuai dengan perkembangan semasa.
Namun pada tahun 2009, kolej kediaman ini telah diberi penstrukturan semula bagi memantapkan pengurusan kemudahan penempatan kepada warganya. Oleh itu, penstrukturan telah dilakukan dengan memberi penamaan semula nama kolej kediaman kepada sistem kompleks kediaman. Penamaan semula kolej kediaman telah dirasmikan oleh D.Y.T.M. Tuanku Syed Faizuddin Putra ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, Raja Muda Perlis, pada 14 Mac 2010. Kini, Universiti Teknologi MARA Perlis (UiTM Perlis) mempunyai 3 buah kompleks kolej kediaman iaitu:-
Kompleks kediaman di UiTM Perlis menyediakan pelbagai prasana untuk kemudahan pengguna dan warganya. Lokasi ketiga-tiga kompleks yang berpusat terletak berhampiran Anjung Siswa. Anjung Siswa telah dijadikan sebagai tempat one stop center dengan menyediakan pelbagai kemudahan dan fasiliti gunasama yang disediakan khususnya untuk penghuni asrama. Antara kemudahan gunasama yang disediakan ialah:-
- Mesin ATM (Bank Islam, Maybank & Bank Simpanan Nasional)
- Kedai runcit
- Kedai gambar
- Kedai fotokopi
- Kedai dobi
- Kedai buku & alatulis
- Kedai komputer
- Cybercafe
- Kiosk & gerai makanan
- Medan selera
- Pusat Latihan Memandu
- Hentian bas dan teksi
- Wifi 24 jam
- Vending machine
- Dataran (aktiviti pelajar)
- Pondok pengawal
- Tandas awam
Selain dari menyediakan tempat penginapan dan makanan kepada pelajar, kolej kediaman juga adalah wadah untuk membentuk dan membangunkan sahsiah pelajar bagi mewujudkan lulusan yang bersifat holistik. Berbagai program dan aktiviti pelajar dirangka dan dilaksanakan di peringkat kolej dan dikawal selia oleh Timbalan Rektor (Hal Ehwal Pelajar) dan Pengurus Asrama.
Bagi membantu pentadbiran kolej dan menjaga kebajikan serta pembangunan pelajar di kolej kediaman, 2 orang Pegawai Pembangunan Pelajar (PPP) dilantik di setiap blok kediaman terdiri dari pegawai pentadbiran dan pensyarah. Pelajar boleh menghubungi PPP yang bertugas semasa atau selepas waktu pejabat untuk bantuan dan nasihat yang berkaitan dengan aktiviti atau masalah yang mereka hadapi.
Jawatankuasa Perwakilan Kolej (JPK) adalah sekumpulan pemimpin pelajar yang dipilih di kalangan penghuni blok bagi mewakili suara dan keperluan mereka di peringkat kolej kediaman kepada pihak pengurusan. JPK dipilih seramai 17 orang bagi setiap blok dan dilantik memimpin untuk tempoh satu tahun. Selain membantu pengurusan kolej dan PPP dalam penganjuran aktiviti pembangunan pelajar, mereka diberikan pelbagai kemudahan dan keistimewaan setimpal dengan khidmat bakti yang diberikan kepada universiti.


