User Rating: 0 / 5

Star InactiveStar InactiveStar InactiveStar InactiveStar Inactive
 

Sejarah Penubuhan Fakulti

Sejarah Universiti Teknologi MARA bermula sebagai Dewan Latihan RIDA yang beroperasi mulai November 1956 di Petaling Jaya, Selangor. Dewan Latihan ini ditubuhkan bertujuan sebagai pusat percubaan menawarkan kursus persediaan untuk remaja luar bandar aliran Inggeris. RIDA yang merupakan singkatan bagi Rural and Industrial Development Authority, dibentuk pada tahun 1950 untuk membantu menaik taraf ekonomi penduduk bumiputera. Dewan Latihan ini merupakan inspirasi Dato' Onn bin Ja'afar, hasil dari lawatannya ke Ceylon (sekarang Sri Langka), pada tahun 1951.

Pada bulan Jun 1965, Dewan Latehan RIDA diletakkan di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA), dan namanya ditukar kepada Maktab MARA. Maktab ini terus berkembang hingga menjadi unit terpenting dalam Bahagian Latihan MARA, hinggalah pada 14 Oktober 1967, Maktab MARA ini mendapat nama baru Institut Teknologi MARA (ITM). Seterusnya pada tahun 1996, ITM telah dinaik taraf menjadi sebuah universiti. Namun begitu, namanya tidak ditukar hinggalah pada 26 Ogos 1999, Institut Teknologi MARA dengan rasminya dinamakan Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan mempunyai 2 buah lagu rasmi iaitu "UiTM Di Hatiku" dan "Wawasan Setia Warga UiTM".

Kampus UiTM Arau merupakan salah satu daripada cawangan Universiti Teknologi Mara yang terletak di dalam negeri Perlis Indera Kayangan, Perlis. Kampus ini ditubuhkan pada bulan Julai 1974 (menjadikannya kampus cawangan UiTM ketiga tertua) di Kangar namun pada tahun 1980, kampus ini berpindah ke lokasi tetapnya di Arau.

Fakulti Pengurusan Perniagaan adalah fakulti terawal UiTM dengan tertubuhnya Dewan Latihan RIDA (Rural Industrial Development Authority) pada tahun 1956. Fakulti ini kini adalah fakulti terbesar di Malaysia dengan jumlah alumni yang ramai yang di antaranya memegang jawatan tinggi di dalam sektor swasta. Matlamat utama fakulti ini adalah untuk melahirkan graduan yang mempunyai kemahiran serta kebolehan dalam bidang pengurusan perniagaan bagi memenuhi permintaan pelbagai sektor perindustrian dan perkhidmatan. Selain itu, graduan program ini turut dilatih agar mempunyai ciri-ciri proaktif, mampu berfikir secara rasional dan berdaya saing serta memiliki budaya cemerlang dalam masa yang sama dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran perniagaan yang dinamik yang memerlukan tenaga kerja lebih kreatif dan innovtif. Malahan, graduan Diploma dan Ijazah Sarjana Muda UiTM sememangnya mempunyai peluang yang luas untuk menceburi alam pekerjaan di dalam pelbagai syarikat swasta mahupun kerajaan dibahagian pentadbiran, pengurusan dan pemasaran.

Program Kursus

1.BM240 – Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Kepujian) Pemasaran

Program ini direka khas untuk melatih dan memberikan pendedahan yang sewajarnya kepada para graduan mengenai konsep dan strategi pemasaran yang semakin kritikal. Program ini juga turut memberikan pendedahan yang meluas kepada pelajar mengenai alam pemasaran yang sebenai melalui pembelajaran kes serta jaringan dengan pihak industri yang berkaitan. Program ini membuka peluang kepada Bumiputera lulusan Diploma dari UiTM atau mana-mana institusi yang setaraf dengannya bagi meningkatkan kemahiran dalam bidang pemasaran di peringkat profesional selari dengan keadaan ekonomi dan perubahan global yang mencabar pada hari ini. Justeru itu, graduan bidang pemasaran sangatlah diperlukan dalam menyalurkan kepakaran bagi membaik pulih struktur ekonomi negara.

2. BM242 – Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Kepujian) Kewangan

Program ini mampu untuk melatih bumiputera dalam bidang kewangan dan pelaburan. Pada tahun pertama dan kedua, pelajar didedahkan kepada konsep-konsep asas pengurusan dan perniagaan. Tahun ketiga pula, penekanan diberikan kepada prinsip-prinsip dan perkembangan semasa yang menjadi amalan pelaburan institusi kewangan di Malaysia.

Program ini direka khas untuk melatih dan memberikan pendedahan yang sewajarnya kepada para graduan mengenai konsep kewangan yang semakin mendapat perhatian pihak industri. Program ini juga akan memberikan pendedahan yang luas mengenai institusi kewangan yang sebenar melalui pembelajaran dan kerja kursus. Program ini membuka peluang kepada Bumiputera lulusan Diploma dari UiTM atau mana-mana institusi yang setaraf dengannya bagi meningkatkan kemahiran dalam bidang pelaburan di peringkat profesional.

3. BM243 – Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Kepujian) Pengurusan Sumber Manusia

Program ini berupaya melahirkan graduan yang mempunyai kecekapan dalam menggunakan semua instrument sumber manusia di mana-mana organisasi. Dalam masa yang sama graduan diberi pendedahan untuk meneroka teori-teori yang berkaitan dengan pengurusan sumber manusia dalam menyumbang kepada keberkesanan organisasi. Kursus ini direka khusus untuk memberi pendedahan kepada graduan mengenai pengurusan pekerja sebagai aktiviti langsung dan interpersonal. Ianya merangkumi penekanan kepada kemahiran teknikal untuk penilaian, pemilihan dan latihan dalam sesebuah organisasi. Secara amnya pengurusan sumber manusia merujuk kepada amalan, dasar dan sistem yang mempengaruhi tingkahlaku, sikap dan prestasi pekerja. Antara amalan-amalan pengurusan sumber manusia termasuk menentukan keperluan sumber manusia (perancangan sumber manusia), menarik pekerja yang berkelayakan (perekrutan), memilih pekerja (pemilihan), mengajar pekerja bagaimana untuk melaksanakan kerja dan menyediakan mereka untuk masa depan (latihan dan pengembangan), memberi ganjaran kepada pekerja (pampasan), menilai prestasi pekerja (penilaian prestasi), dan membentuk persekitaran kerja yang positif dan harmoni (perhubungan pekerja).

Pengurusan Fakulti dan Alamat Perhubungan

Fakulti Pengurusan Perniagaan diterajui oleh Ketua Pusat Pengajian dan Koordinator Kursus.

DR. AHMAD NIZAN BIN MAT NOOR
Ketua Pusat Pengajian
Fakulti Pengurusan Perniagaan,
UiTM Perlis, 02600 Arau, Perlis
Email: This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.
Tel: 604- 9882157 | Fax: 04-9882526
WAN MOHD YASEER BIN MOHD ABDOH
Koordinator Kursus
Fakulti Pengurusan Perniagaan,
UiTM Perlis, 02600 Arau, Perlis
Email: This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.
Tel: 604-9882505 | Fax: 04-9882526