User Rating: 5 / 5

Star ActiveStar ActiveStar ActiveStar ActiveStar Active
 

Pengenalan

Fakulti Sains Gunaan merupakan salah satu fakulti yang asas dan penting dalam bidang sains dan teknologi. Bermula dengan hanya lima program sejak ditubuhkan pada tahun 1967 di Institusi Teknologi MARA, Fakulti Sains Gunaan telah melalui pembangunan dan peningkatan yang ketara. Tumpuan Fakulti Sains Gunaan adalah pada fundamental sains dan penggunaan pengetahuan saintifik.

Fakulti Sains Gunaan di Universiti Teknologi MARA Cawangan Perlis menawarkan pelbagai program pengajian: Diploma, Sarjana Muda, dan pasca pengajian siswazah. Dengan bilangan pensyarah yang hampir kepada 100 orang, fakulti ini menawarkan program-program akademik yang unggul, dari tahap diploma sehingga PhD.

Fakulti Sains Gunaan menawarkan pengajian dan penyelidikan yang luas melalui tiga program diploma (AS113, AS115, AS120), empat program Sarjana Muda (AS201, AS202, AS203, AS243, AS245, AS254) dan program pascasiswazah.

Pelbagai program akademik yang ditawarkan di fakulti adalah sentiasa dipantau dan dinilai mengikut perkembangan semasa di bidang sains dan teknologi. Para graduan kami mempunyai prospek kerjaya yang cerah, dan sebahagian besar graduan memilih untuk melanjutkan pelajaran ke tahap Sarjana atau Doktor Falsafah yang ditawarkan oleh fakulti.

Fakulti Sains Gunaan menyumbang kepada tunjang pembangunan Universiti Teknologi MARA dengan memberikan peluang kepada pelajar untuk menggabungkan sains dengan bidang yang lain. Penyelidikan merupakan satu komponen yang amat ditekankan kepentingannya di Fakulti Sains Gunaan.

Fakulti Sains Gunaan senantiasa berusaha untuk mewujudkan satu persekitaran dinamik yang menjalinkan hubungan antara inovasi akademik dan keunggulan di dalam pengajaran, pembelajaran, dan penyelidikan. Di dalam kesemua aktiviti yang dijalankan, tujuan kami adalah untuk berfungsi dengan berfikir ke depan, berpandukan hasil dan bertanggungjawab terhadap masyarakat - selaras dengan matlamat untuk menjayakan visi kami sebagai satu institusi terulung dalam bidang sains dan teknologi.

 

 Visi dan Misi

Fakulti Sains Gunaan berhasrat untuk menjadi satu fakulti terulung di dalam kemajuan sains dan teknologi melalui pengajaran yang berkualiti, penyelidikan, khidmat perundingan dan teknikal. Selain daripada itu, Fakulti Sains Gunaan juga menggalakkan kecemerlangan akademik melalui pengajian, pembelajaran, penyelidikan, khidmat perundingan dan khidmat-khidmat yang penting dalam pembangunan sosio-ekonomi negara.

Program-program yang ditawarkan di UiTM Cawangan Perlis

AS113 | Diploma Teknologi Polimer

Program diploma selama tiga tahun yang dijalankan di UiTM Cawangan Perlis ini bertujuan untuk menyediakan pelajar dengan kemahiran serta latihan dalam teknologi polimer di peringkat semi-profesional. Ia meliputi prinsip dan kemahiran operasi mesin dan peralatan yang berkaitan dengan teknologi fabrikasi bahan polimer untuk menghasilkan produk plastik dan getah. Teknologi yang diajar adalah diselaraskan dengan teknologi terkini yang digunapakai oleh industri.

Program ini juga merangkumi kursus-kursus seperti pencirian polimer dan ujian polimer dengan pengalaman menggunakan sampel sebenar seperti yang digunapakai di makmal-makmal R&D. Pada akhir program, pelajar dikehendaki untuk menjalani latihan praktikal dalam industri berasaskan polimer sebagai persediaan dan pendedahan awal kepada pelajar berkaitan industri polimer. Graduan juga boleh melanjutkan pengajian mereka pada peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang berkaitan bagi memenuhi keperluan tenaga kerja semasa.

 

AS115 | Diploma Kimia Industri

Program yang mengambil masa selama 3 tahun ini menggabungkan beberapa kursus yang melibatkan bidang kimia tulen dan kejuruteraan kimia. Di antara kursus yang terlibat ialah Kimia Organik, Kimia Inorganik, Kimia Analitikal dan Kimia Fizikal berserta beberapa kursus Matematik. Pelajar akan didedahkan dengan teknik terkini dalam Kimia Analitikal dari segi teori dan praktikal. Selain itu, program ini juga menawarkan beberapa kursus asas bagi kejuruteraan kimia seperti Unit Operasi, Kawalan Proses, Proses Industri, Mekanik Bendalir, Pengalihan Haba dan Termodinamik. Graduan daripada program ini boleh diambil bekerja sebagai Juruteknik Makmal, Penyelia Pengeluaran, Penolong Pegawai Sains & Penyelidikan, Penolong Pegawai Kimia, Penolong Jurutera dan pelbagai lagi.

 

AS120 | Diploma Sains

Program yang mengambil masa selama 2 setengah tahun ini menggabungkan tiga disiplin utama kepada bidang sains tulen iaitu Fizik, Kimia dan Biologi. Pelajar akan didedahkan dengan pelbagai subjek dalam tiga bidang berkenaan di samping beberapa subjek Matematik. Program ini amat sesuai bagi pelajar yang masih belum menemui bidang sains dan teknologi yang paling diminati. Setelah tamat pengajian, pelajar akan dianugerahkan Diploma Sains dan boleh memohon untuk mengikuti program Sarjana Muda di mana-mana fakulti mengikut syarat yang ditetapkan oleh universiti. Graduan bagi program ini mempunyai skop kerjaya di dalam industri sains dan teknologi yang berkaitan. Di antaranya sebagai Penolong Pegawai Penyelidik, Penolong Pegawai Sains, Penolong Pegawai Kawalan Mutu, Penolong Pengurus Makmal dan Usahawan.

 

AS201 | Sarjana Muda (Kepujian) Biologi

Sarjana Muda Sains (Kepujian) Biologi merupakan salah satu program sepenuh masa di UiTM Pelis. Masa pengajian program ini ialah tiga tahun. Penekanan program ini lebih kepada beberapa prinsip biologi yang terdiri daripada sel biologi, molekular biologi, kepelbagaian haiwan dan tumbuhan. Prinsip-prinsip ini diharap membantu pelajar memahami isu dan masalah yang memberi kesan kepada kehidupan seharian. Pelajar-pelajar ini akan didedahkan secara menyeluruh mengenai sel, struktur sel bersama fungsinya, genetik dan perhubungan yang mengaitkan logik dan sains. Pelajar juga didedahkan kepada subjek pengurusan sebagai minor dalam pelan pengajian.

 

AS202 | Sarjana Muda (Kepujian) Kimia

Kimia merupakan disiplin asas yang penting di mana ia memainkan peranan penting dalam kebanyakan bidang sains biologi dan fizikal, begitu juga dalam bidang pertanian, perubatan dan bidang yang berkaitan dengan kesihatan. Program sepenuh masa selama tiga tahun ini menyediakan pelajar dengan prinsip-prinsip asas dalam bidang Kimia Analisis, Kimia Tak organik, Kimia Organik dan Kimia Fizikal. Kekuatan program ini adalah kaedah pengajaran serta keluasan dan kedalaman kurikulumnya yang meliputi bidang pengajian pengurusan. Pelajar juga akan diajar kemahiran yang diperlukan untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran teknologi yang sentiasa berubah selepas tamat pengajian.

Graduan dari program ini layak untuk mendaftar sebagai ahli kimia yang berkelayakan dengan Institut Kimia Malaysia (IKM).

 

AS203 | Sarjana Muda (Kepujian) Fizik

Program sepanjang tiga tahun ini memberi tumpuan kepada beberapa bidang utama Fizik untuk pelajar menguasai konsep dan penyelesaian masalah mekanik, haba, elektrik dan kemagnetan, optik dan gelombang dan fizik kuantum. Selain daripada penguasaan teori, pelajar juga akan diajar kemahiran dan teknik pengendalian makmal. Pelajar akan diperkukuhkan dengan matematik berasaskan kalkulus, yang amat penting untuk perkembangan kerjaya dalam fizik dan bidang-bidang lain yang berkaitan. Selain itu, pelajar juga akan dikehendaki untuk mengambil kursus Pengurusan untuk memantapkan kesediaan diri pelajar semasa menempuh alam kerjaya kelak.

 

AS243 | Sarjana Muda (Kepujian) Teknologi Polimer

Program Sarjana Muda Sains (Kepujian) Teknologi Polimer ini adalah merupakan pengajian 3 tahun yang akan memberi pendedahan berkenaan teknologi pemprosesan, pembuatan dan pengeluaran bahan polimer dan komposit. Pelajar akan diberi pilihan menguasai bidang samada Teknologi Bahan atau Teknologi Pemprosesan dan Produk. Dengan pendedahan kepada apikasi perisian komputer berasaskan kejuruteraan, reka bentuk dan pembuatan, pelajar akan menguasai dan memahami teknik penghasilan reka bentuk produk dan analisis sifat-sifat polimer. Pada tahun akhir pengajian, pelajar akan menjalani latihan industri selama 3 bulan di kilang-kilang dan industri berasaskan polimer. 

 

AS245 | Sarjana Muda (Kepujian) Kimia Gunaan

Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) Kimia Gunaan adalah kursus jangkamasa 3 tahun yang menyediakan latar belakang yang sangat kondusif untuk bakal ahli kimia profesional untuk industri. Ia menggabungkan pengetahuan asas dan kemahiran untuk memenuhi permintaan industri. Program ini adalah dijana atas dasar analisis kimia dan analisis instrumentasi di samping pelbagai aplikasi kimia lain dalam bidang seperti teknologi kimia, polimer, makanan dan kimia alam sekitar. Pelajar juga akan didedahkan kepada bidang kawalan kualiti dan jaminan, pengurusan pengeluaran, pemasaran dan keselamatan. Para graduan UiTM Kimia Gunaan terkenal kerana pengalaman hands–on dan pengetahuan secara praktikal.

 

AS254 | Sarjana Muda (Kepujian) Teknologi Marin

Program Sarjana Muda Sains (Kepujian) Teknologi Marin diwujudkan dengan aspirasi untuk memenuhi permintaan industri terhadap ahli-ahli teknologi marin dan pegawai yang terlatih dan berkemahiran. Bidang-bidang yang difokuskan dalam pengajian ijazah sarjana ini termasuklah perikanan, industri marin dan maritim, perkapalan dan pelabuhan, biologi marin dan isu-isu alam sekitar. Program ini menyediakan peluang dan pengetahuan kepada para graduan berkaitan kehidupan marin, marinkultur, instrumentasi marin, oseanografi, ilmu pelayaran, keselamatan laut dan pelayaran, kejuruteraan marin, undang-undang laut serta teknologi lepas tuai.

 

Pengurusan

Ketua Pusat Pengajian: Dr. Sharizal Hassan

Email: This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.

Telefon: 04-9882489/2255

 

Koordinator Kursus AS201, AS202, AS203, AS243, AS245, AS254:

Mohd Fauzi Abdullah

Email: This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.

Telefon: 04-9882487

 

Koordinator Kursus AS113, AS115, AS120:

Zalina Zainal Abidin

Email: This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.

Telefon: 04-9882515

 

Alamat perhubungan: Fakulti Sains Gunaan, Universiti Teknologi MARA, Cawangan Perlis, Kampus Arau.