User Rating: 0 / 5

Star InactiveStar InactiveStar InactiveStar InactiveStar Inactive
 

Pengenalan

Fakulti ini ditubuhkan pada bulan Julai 1967 dengan pendaftaran awal 60 orang pelajar dan dikenali sebagai Fakulti Seni Gunaan yang kemudiannya ditukar kepada Pusat Pengajian Seni dan Senibina. 

Pada tahun 1971, Pusat Pengajian Seni dan Senibina telah menjalani penyusunan semula dan membawa kepada penubuhan dua fakulti yang berasingan iaitu fakulti yang mengkhusus kepada Kajian Alam Bina dan fakulti yang mengkhusus kepada Kajian Senilukis dan Senireka. Rentetan daripada itu, Fakulti Alam Bina dinamakan Pusat Pengajian Senibina Perancangan dan Ukur, yang kemudiannya dikenali sebagai Fakulti Senibina Perancangan dan Ukur. Walaubagaimanapun, akronim Melayu 'FSPU' biasanya digunakan di dalam UiTM yang merujuk kepada Fakulti Senibina Perancangan dan Ukur.

Pada tahun 1996, Jabatan Sains Ukur dan Geomatik telah diletakkan di bawah FSPU, Universiti Teknologi MARA disebabkan penstrukturan semula Fakulti Kejuruteraan. Pada masa ini, FSPU berada di cawangan Selangor, Seri Iskandar, Perlis, dan Kota Samarahan.

 

Pusat Pengajian Sains Ukur dan Geomatik (PPSUG)

PPSUG merupakan salah satu pusat pengajian yang berada di bawah pengendalian FSPU. Ia telah ditubuhkan pada tahun 1971 di UiTM Shah Alam dan beroperasi di bawah Fakulti Kejuruteraan dengan nama Jabatan Ukur Tanah. Rational penubuhan jabatan ini adalah untuk melahirkan graduan yang mempunyai asas yang kuat di dalam bidang ukur untuk profesion ukur tanah dan memenuhi kelayakan akademik Lembaga Jurukur Tanah Semenanjung Malaysia serta meningkatkan keupayaan pelajar seiring dengan keperluan industri. Jabatan ini secara rasminya menggunakan nama Jabatan Sains Ukur dan Geomatik pada Mei 1995. Penjenamaan semula jabatan bukan sahaja menunjukkan perubahan fungsi profesion ukur yang lebih baik tetapi juga menunjukkan disiplin-disiplin kerja yang lebih meluas meliputi skop sains pengukuran moden, sains maklumat tanah dan pengurusan data spatial.

PPSUG telah menjadi salah satu pendahulu institusi pengajian tempatan yang menawarkan peluang untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang ukur dan geomatik. Kini, PPSUG telah beroperasi di cawangan Selangor, Seri iskandar dan Perlis.

 

PPSUG di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Perlis

Program Diploma Sains Geomatik (DSG AP120) dahulunya dikenali sebagai Diploma Ukur Tanah di ITM Perlis bermula pada tahun 1990. Ketika itu, program ini hanya memberi perkhidmatan kepada pelajar semester 1 dan 2 sahaja dan baki pengajian diteruskan di Jabatan Sains Ukur dan Geomatik, UiTM Shah Alam.

Pada tahun 1998, Senat Universiti telah memberi kelulusan untuk program DSG AP120 dijalankan sepenuhnya di UiTM Perlis sehingga tamat keseluruhan pengajian. Namun begitu, dua lagi program,  DSG AP121 - Diploma Sains Geomatik (Sistem Maklumat Geografi) dan DSG AP122 - Diploma Sains Geomatik (Sumber Alam) masih kekal dengan sistem yang lama.

Pada awal tahun 2006, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) telah mengeluarkan surat arahan “Zero Basis Diploma” di Shah Alam termasuklah kepada Fakulti Senibina, Perancangan dan Ukur (FSPU). Justeru, Dekan dan JSUG Shah Alam telah mengambil tindakan yang sewajarnya untuk mengeluarkan arahan bahawa program DSG AP121 dan AP122 tidak lagi dilanjutkan ke kampus Shah Alam. Semenjak Disember 2007, kedua-dua program tersebut beroperasi sepenuhnya di UiTM Perlis.

Bermula tahun 1998, Jabatan Sains Ukur dan Geomatik (JSUG) telah menunjukkan peningkatan yang drastik dari segi bilangan pelajar, pensyarah dan kakitangan sokongan. Sehingga Mac 2014, jumlah pelajar JSUG adalah hampir seramai 1500 orang dan bilangan keseluruhan pensyarah adalah 33 orang termasuk 2 orang pensyarah kontrak. Manakala, sehingga Mac 2014, program yang ditawarkan adalah merangkumi Ijazah Sarjana Muda Sains Ukur dan Geomatik (dengan Kepujian) (AP220), Diploma Sains Geomatik (AP120), Diploma Sains Geomatik (Sistem Maklumat Geografi) (AP121) dan Diploma Sains Geomatik (Sumber Alam) (AP122). Walaubagaimanapun, bermula Disember 2014, penawaran program hanya melibatkan program AP220 dan AP120 sahaja.

 

Fasiliti dan Infrastruktur PPSUG :

Selepas 24 tahun penubuhan Jabatan Sains Ukur dan Geomatik di UiTM Perlis, terdapat beberapa makmal dan infrastruktur yang telah sediakan bagi kegunaan pelajar dan pensyarah. Antara makmal- makmal yang disediakan:

  • Makmal Fotogrametri
  • Makmal Kartografi
  • Makmal Pemprosesan Data
  • Makmal GIS
  • Makmal Remote Sensing

Selain itu, beberapa infrastruktur telah diwujudkan bagi tujuan latihan praktikal pelajar. Infrastruktur dan fasiliti- fasiliti ini telah disediakan di sekitar UiTM Perlis dan beberapa infrastruktur ini adalah hasil daripada kerjasama dengan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) Perlis. Antara infrastruktur yang disediakan:

  • Stesen- stesen MyRTK Net - Kerjasama dengan JUPEM
  • Tapak Ujian GPS - Kerjasama dengan JUPEM
  • Standard Bench Mark dan Monumen Bench Mark - Kerjasama dengan JUPEM
  • Cadastral Lot Network
  • Horizontal and Vertical Control Point

Program Yang Ditawarkan

AP120 |  Diploma Sains Geomatik 

Program 3 tahun sepenuh masa ini mensasarkan penghasilan graduan yang mempunyai pengetahuan yang mendalam dalam bidang geo-pengukuran, pemprosesan, pentafsiran, analisis dan penyampaian berasaskan maklumat spatial tanah. Program ini distrukturkan dengan teori dan kerja praktikal menggunakan peralatan elektronik berteknologi tinggi. Program ini diiktiraf oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Institut Jurukur Malaysia (ISM) dan Lembaga Jurukur Tanah Malaysia. 

Graduan program ini mempunyai pilihan sama ada untuk berkhidmat dalam sektor awam atau swasta sebagai pembantu teknikal, pembantu jurukur dan pembantu pegawai tanah atau pembantu pengurus termasuklah jabatan ukur dan hartanah, pembinaan, perlombongan, kejuruteraan dan pengukuran hidrografik. 


AP220 |  Sarjana Muda Sains Ukur dan Geomatik (Kepujian)

Program ini ditawarkan untuk menghasilkan graduan yang mempunyai pengetahuan yang mendalam dalam bidang geo-pengukuran, pemprosesan, pentafsiran, analisis dan penyampaian berasakan maklumat spatial tanah dengan memberi penekanan di dalam pembangunan, pelaksanaan, penggunaan dan pengurusan tanah berkomputer dan sistem maklumat geografi serta pentafsiran data satelit dan pemprosesan imej digital. Tempoh pengajian program ini adalah 3 hingga 4 tahun sepenuh masa bergantung kepada kelayakan dan status pemohon. Program ini diiktiraf oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Institut Jurukur Malaysia (ISM) dan Lembaga Jurukur Tanah Malaysia. 

Pemegang ijazah program ini layak memegang jawatan dalam bidang ukur yang memerlukan pekerjaan yang fleksibel sama ada di dalam atau di luar pejabat. Graduan juga mempunyai pilihan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sarjana.

Semakan syarat kelayakan akademik bagi program- program yang ditawarkan di Laman Web Pengambilan UiTM


Pengurusan Fakulti

Pusat Pengajian Sains Ukur dan Geomatik
Fakulti Senibina Perancangan dan Ukur
Universiti Teknologi MARA Cawangan Perlis
02600 Arau Perlis 
 
Untuk maklumat lebih lanjut dan sebarang pertanyaan sila hubungi :
Dr. Mohd Azwan Bin Abbas
Ketua Program Sains Ukur dan Geomatik
Program AP120/AP121/AP122/AP220
Universiti Teknologi MARA Cawangan Perlis   
Tel : +6049882270
Email : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.    
                                                                                                                                        
Siti Maryam Binti Abdul Wahab
Koordinator Kursus Sains Ukur dan Geomatik
Program AP120/AP121/AP122/AP220
Universiti Teknologi MARA Cawangan Perlis
Tel : +6049882504
Email : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.
 

Info lanjut di Laman Sesawang : Fakulti Senibina Perancangan dan Ukur UiTM Shah Alam