User Rating: 0 / 5

Star InactiveStar InactiveStar InactiveStar InactiveStar Inactive
 

UiTM Cawangan Perlis telah berjaya meletakkan dirinya sebagai salah sebuah institusi pengajian awam tersohor di Perlis.  Penubuhannya bermula dengan perasmian pada 5 Julai 1974 dengan pengambilan pelajar perintis seramai 258 orang yang mengikuti 6 program yang ditawarkan; 1 program persediaan dan 5 program diploma.  Bilangan tenaga pengajar pada ketika itu ialah 15 orang dan dibantu oleh 31 kakitangan pentadbiran dan staf sokongan.  Pada masa itu ia beroperasi di kampus sementara yang bertempat di sebuah bangunan Rumah Pengakap yang telah diubahsuai di Jalan Padang Katong, Kangar.  Kampus tetap ITM Perlis mula beroperasi pada tahun 1980 di atas sebidang tanah seluar 335 ekar di Arau. 

UiTM Cawangan Perlis telah berkembang pesat daripada aspek akademik dan juga fizikal.  Sebanyak 34 program iaitu 17 program Ijazah dan 16 program Diploma ditawarkan oleh 7 buah Fakulti.  Sebagai kampus cawangan yang terbesar, kampus ini kini mempunyai 7869 orang pelajar sepenuh masa.  Bilangan kakitangan pula telah mencecah 779 orang yang mana 390 daripadanya ialah kakitangan akademik dan 389 ialah kakitangan bukan akademik.  Selain itu, pelbagai kemudahan infrastruktur juga disediakan.  Antaranya ialah 8 kolej kediaman siswa, 7 kolej kediaman siswi, 67 makmal sains,  22 makmal komputer, 3 makmal bahasa, sebuah dewan besar, sebuah masjid, sebuah stadium mini dan gimnasium.   Beberapa kemudahan seperti asrama, dewan dan gimnasium dibenarkan untuk disewa oleh orang ramai.