Jumaat, 16 Disember 2022 – Akademi Pengajian Bahasa telah menganjurkan Arau International Poetry Festival secara dalam talian pada hari ini. Tahun ini merupakan tahun ketiga penganjuran festival puisi tersebut. Tema yang dibawakan pada kali ini adalah Poetics of Creative Sustainability atau Puisi Kelestarian Kreativiti.
Seramai 67 orang pemuisi dari pelbagai kategori termasuk 5 dari Universitas Muria Kudus, Indonesia dan 8 dari Xinyang Normal University, China telah menyertai festival pada tahun ini. Festival ini telah menampilkan beberapa penceramah jemputan dari dalam dan luar negara iaitu Dr. Amizura Hanadi Mohd Radzi (Akademi Pengajian Bahasa, UiTM Cawangan Perlis), Puan Nur Adila Hakimi (UniMAP), Dr. Salasiah Abas (Zai Music World, Malaysia), Profesor Emeritus Effendi Kadarisman (Universitas Negeri Malang, Indonesia), Puan Nazhatulshima Nolan (Akademi Pengajian Bahasa, UiTM Kampus Segamat), dan Ibu Rusiana (Universitas Muria Kudus, Indonesia). Selain itu, program tersebut membawa penampilan istimewa dari seorang pelajar OKU dari SMK Syed Hassan iaitu saudara Azfar Hazim Hasnizam.
Arau International Poetry Festival 2022 telah dipengerusikan oleh Puan Nor Azira Mohd Radzi, Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Bahasa, UiTM Cawangan Perlis. Program ini merupakan hasil cetusan idea Ketua Pusat Pengajian Akademi Pengajian Bahasa, UiTM Cawangan Perlis iaitu Dr. Latisha Asmaak Shafie. Untuk rekod, Arau International Poetry Festival telah mengharumkan nama UiTM Cawangan Perlis apabila merangkul anugerah Excellence and Innovation in the Arts di Times Higher Education (THE) Awards 2021 anjuran UiTM Global. Selain itu, Arau International Poetry Festival telah disenarai pendek untuk anugerah yang sama di THE Awards Asia 2022.